DIMANA DAN SIAPAKAH AKU?


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua,

Fuhh.. Lama sudah tak mengemaskini blog kesayanganku ini. Bak kata orang berhabuk dah. Dulu masa zaman awal popular blogger, agak aktif juga lah berblogging tapi sekarang dengan macam-macam platform amatlah jarang mengemaskini status/penulisan di blog ini. Ingat senangkah ingin menerbitkan sesesuatu artikel? Ia memerlukan komitmen masa, pengesahan maklumat yang tepat, pengolahan yang menarik dan susunan perenggan yang baik. Cheewahhh.. Macam ketua pengarang majalah pulak aku bermadah kata.

Okay. Berbalik pada isi pokok yang ingin aku ceritakan. Ramai juga kawan-kawan, klien dan kenalan lama ingin tahu apakah perkara yang aku selalu buat sekarang. Dari selepas zaman sekolah di SM Sains Muzaffar Syah, aku melanjutkan pelajaran di menara gading luar negara iaitu Jepun. Semasa di Jepun lah menjadi titik tolak kepada apa yang aku lakukan sekarang. Dari profesion jurutera industri menjadi konsultan pelaburan yang berlesen dan bertauliah.

MINAT DENGAN PELABURAN HARTANAH

Semasa dekat Jepun, aku ni amatlah berminat dengan pelaburan hartanah. Strategi beli rumah lelong, dapat duit dengan teknik mark up beli bawah market value, direct subsale dengan owner, buat JV lah dan macam-macam teknik membuatkan aku sangat berminat dengan pelaburan rumah/tanah ni. Tapi faham sajalah, kekangan masa di Jepun membuatkan kedudukan dan masa aku terhad untuk berada di Malaysia.

Masa itu jugalah aku terfikir macam mana hendak melabur duit kalau ada kat Jepun ni? Susah jugak ya.. Jadi masa tu jugalah mula berjinak-jinak dengan pelaburan saham. Main saham senang, ada dekat mana-mana pun boleh melabur. Bila melabur saham ni lah yang seterusnya menjadi antara kerjaya penting aku sekarang ini.

Berkaitan dengan JV (Joint Venture) dalam buku popular Robert Kiyosaki ada menerangkan mengenai OPM (Others’ People Money). Maksudnya lebih kurang kita menggunakan duit orang lain untuk membuat pelaburan. Boleh jadi kita JV, pinjam atau berkongsi keuntungan pelaburan tersebut jika kita kekurangan modal. Pelaburan paling asas masa tu yang aku adalah hanya ASB, dibuat mak aku sebagai pelaburan untuk menyambung pendidikan masa depan aku. Aku terfikir kalau lah ada orang bagi aku pinjam RM1juta, aku nak pinjam setahun & tahun depan selepas dapat dividen ASB aku pulangkan balik. Dividen dalam anggaran 6-7% boleh lah dapat anggaran RM70,000 setahun dividen kan? Tetapi siapakah gerangan jutawan yang sanggup memberikan aku pinjam amaun tersebut?

AKU BUAT PINJAMAN RM100,000

Sekitar tahun 2013 aku terfikir jika bank boleh beri pinjam untuk pembelian rumah, tidakkah boleh bank memberi aku pinjam untuk pelaburan ASB? Dan ketika itulah sebenarnya memang wujud pinjaman ASB Loan/Financing yang menjadi kegilaan sekarang. Masa tu, pinjaman RM100k dengan ambil pelan perlindungan insurans/takaful bayaran bulanan adalah RM597. Nak mudah kiraan, kita genapkan RM600 sebagai komitmen bulanan untuk ASB. Bermakna setahun komitmen adalah RM7200. Jika dividen lebih 7.2%, barulah aku dapat balik RM7200 daripada dividen RM100k tu. Lepas bayar setahun, tahun depan tu aku bayar guna dividen je. Yang jadi masalah kebanyakan orang Melayu sekarang ialah dapat dividen lupa diri enjoy sana sini. Lepas tu meringkuk nak bayar komitmen bulan-bulan. Kena ingat yang bank punya interest anggaran 5.5%, kau dapat dalam 1.5% jer sebenarnya kalau dividen 7%. Kalau dividen lagi rendah? Silap-silap kita yang kena topup/tambah hutang bulan-bulan. Dari segi peratus sebenarnya apa yang kita dapat adalah rendah, cuma dari segi amaun adalah besar walaupun 1-2%. Jadi sebenarnya kalau ada duit cash, melabur terus ASB atau unit trust lain adalah lebih baik untuk jangkamasa panjang. Sebenarnya terdapat pelbagai teknik lagi yang aku belajar sepanjang berkecimpung dalam dunia pelaburan unit amanah saham nih.

Agak kompleks kah penerangan aku di atas? Kesimpulan cerita sebenarnya melabur menggunakan duit pinjaman bukan semuanya bagus jika kita tidak benar-benar memahami. Silap-silap pihak bank suruh aku tarik balik artikel ni. Hahaha..

AKU BUAT BISNES ONLINE

Okay berbalik pada perkara pokok. Selepas aku berjaya mendapatkan pinjaman/pembiayaan ASB dari Maybank, aku perlu mendapatkan wang untuk membayar komitmen tersebut pada tahun pertama pinjaman/pembiayaan ASB tu. Bak kata orang Melaka, mana aku nak cekau RM7200? Tahun pertama sajalah bersusah sikit sebab tahun kedua dan seterusnya bayar guna dividen jer. Waktu tu lah aku berjinak-jinak menceburi bisnes online.

Pasal bisnes online ni pulak, aku ni dah la ada kat Jepun. Macam mana lah kalau orang order, aku nak poskan barang? Ekau ingat murah kah pos dari Jepun ke Malaysia? Barang aku borong nak simpan kat mana lagi baik? Simpan kat Malaysia atau Jepun? Fikir punya fikir, baca blog orang lain juga dan terjumpalah info mengenai dropship. Barulah aku tahu rupanya senang dropship ni, tak payah simpan barang. Kerja buat dropship ni lebih pada marketing je. Ada order, baru minta orang yang buat dropship ni poskan. La ni sekarang macam-macam ada, Lazada, shopee, 11street dsb lagi senang. Aku buat Facebook page, setting iklan FB Ad atau boost post. Ada sekali sekala try Google Ad juga. Dari seminggu nak dapat sorang customer pun susah, lepas tu agak setiap hari jugalah ada jualan. Aku belajar tentang sistem bisnes.

TENTANG BISNES

Kena ingat yang berniaga ni mengenai ‘game numbers’. 10 prospek datang, berapa orang pelanggan yang beli? Itulah close deal. Berapa close deal kau dapatkan jualan setelah split test beberapa iklan? Iklan mana yang copywriting nya menarik prospek? Iklan yang menarik tak semestinya mempunyai high close sale. Ini adalah pecahan kepada strategi marketing tu. Sangatlah banyak perkara aku belajar mengenai bisnes tetapi perkara penting yang aku belajar dalam dropship adalah tentang operasi bisnes.

“Jangan melabur saham, tapi melaburlah dalam bisnes”. Agak kontroversi bunyinya tapi aku akan terangkan dalam perenggan mengenai pelaburan saham.

KERJA SELEPAS TAMAT BELAJAR

Habis saja belajar di Negara matahari terbit, aku hadir temuduga beberapa syarikat yang aku minat. Tiga syarikat yang aku minat ialah Honda, Panasonic & Maruwa (sebab dekat dirumah jika balik di Malaysia). Walaupun dapat ketiga-tiganya, aku memilih Panasonic sebab dari segi komitmen masa dan gaji (berdasarkan dari cerita senpai/senior dan pertanyaan temuduga). Aku tak suka terikat dengan masa dan kesibukan yang ditentukan orang lain sebenarnya. Gaji tinggi tapi komitmen masa yang sangat sibuk dalam kerja juga aku tak suka. Komitmen kerja, keluarga dan kehidupan luar mesti juga seimbang. Syarikat Panasonic aku rasa agak tidak berapa sibuk, gaji agak sederhana mengikut piawai gaji jurutera masa tu. Jadi, bergelarlah aku sebagai jurutera industri sejurus selepas tamat belajar.

KERJA SAMPINGAN

Bila dah melabur saham sejak 2013, aku minat mendalam dengan saham. Sampaikan nak jadi remisier saham. Tapi agak kompleks juga nak jadi remisier. Nak kena ada at least diploma study background in financial, kena ada modal minima RM50k?, kena ambil course lagi? Aduhh pening aku cuba nak fahamkan. Betul atau tak pun tak tahu lah.

But then, aku terbaca mengenai unit trust, unit amanah saham. Macam ASB atau Tabung Haji lah. Unit trust ni macam kumpulkan duit kita untuk membeli unit–unit saham. Contoh sekarang tahun 2018 dekat Bursa Malaysia, nak beli saham Ajinomoto anggaran RM2000 satu lot (100unitxRM20 per unit). Kau ingat beli satu lot cukup kalau nak untung banyak? Naik sen-sen aja satu lot tak cukup kalau nak untung banyak. Kena kumpulkan ramai-ramai guna unit trust & lepas tu keuntungan kita kongsi. Serendah RM100 pun boleh labur guna unit trust ni tak payah RM2000. Bukan satu saham saja tapi banyak saham dalam satu kumpulan disebut dana saham. Diuruskan oleh mereka yang pakar dan professional dalam saham, berbanding newbies trader macam aku masa tu. Lepas tu, aku pun cari lah unit trust mana yang bagus..

Masa tahun 2015, dana saham unit trust yang sangat gempak performance nya adalah dana al-ilham & small-cap Eastspring. Eh kejap, Eastspring??? Apa benda lah unit trust company ni aku tak pernah dengar pun seumur hidup sebelum ni. Adakah scam penipuan Eastspring ni? Seperti tertipunya orang dulu-dulu dengan skim saham piramid? Bila kita check dengan Suruhanjaya Sekuriti (badan bebas berkanun yang khas untuk kawalselia pelaburan), info Bank Negara, SSM dan FiMM (Federation of Investments Managers Malaysia) rupanya Eastspring bukanlah scam. Check dengan SSM pun nama dah Eastspring Investments Berhad, bukan Enterprise atau Sendirian Berhad. Tapi dalam anggaran 10 tahun, dividen/keuntungan tahunannya adalah anggaran lebih 10% melebihi ASB/TH hingga boleh mencapai lebih 30% setahun. Wow!

Aku kalau mengkaji sesuatu, minat hingga nak tahu sedalam-dalamnya. Jadi nak jadi orang dalaman, aku pun jadi lah unit trust consultant untuk Eastspring ni. Pelbagai perkara aku belajar bukan sahaja mengenai unit trust, tetapi juga mengenai pasaran saham dan sektor-sektornya. Dalam pelaburan sebenarnya bukan saja mengenai wang, tetapi juga mengenai strategi masa. Ada duit tapi tak ada masa tak guna juga, tapi ada masa tidak bermula pun tidak berguna (proscanation cost & compounding effect). Tu sebab Warren Buffet juga menyatakan jangan melabur duit, tetapi labur pada masa.

KERJAYA HIDUP

Sebagai seorang jurutera yang belajar banyak dalam menganalisis maklumat dan menyelesaikan masalah, aku juga belajar untuk menganalisis maklumat untuk menjadikan ia ilmu. Satu perkara yang aku belajar dari seorang CEO syarikat bisnes beliau adalah, info dan ilmu adalah dua perkara berbeza. Kita boleh dapatkan info, tetapi kita tidak semestinya dapat ilmu nya. Ilmu ni apa sebenarnya? Ilmu bermaksud pengetahuan. Apa beza dengan info? Dapat info tidak semestinya anda dapat pengetahuannya. Anda BACA info tak semestinya anda TAHU (ilmu)nya. TAHU tak semestinya FAHAM dan jika sudah FAHAM tidak semestinya anda boleh AMALkan. Ledakan info maklumat perlu dijadikan ilmu dan kita perlukan guru/mentor untuk faham dan amalkan. Sedangkan pemain badminton professional Datuk Lee Chong Wei pun memerlukan mentor Datuk Misbun Sidek untuk latihan badminton beliau walaupun sudah pro.

“Anda BACA tak semestinya anda TAHU (ilmu). TAHU tak semestinya FAHAM dan jika sudah FAHAM tidak semestinya anda boleh AMALkan”

Kerjaya sebagai konsultan unit amanah saham ini juga mengajar aku banyak mengenai kehidupan sebenarnya. Bukan mudah kita bekerja sendiri dalam bisnes. Tapi ingat, 9/10 rezeki adalah datang dari perniagaan. Jadi bisnes ini sekarang dalam bentuk apa? Sememangnya lah perniagaan dalam bentuk perdagangan jual beli. SAHAM adalah bentuk perdagangan ini. Betul tak?

JADI PELABUR/PEDAGANG SAHAM

“Jangan labur saham, labur dalam bisnes”

Maksudnya janganlah kita terlalu taksub dengan saham. Kita kena fikirkan perniagaannya barulah sesuatu pelaburan saham itu menguntungkan. Pengalaman aku dalam bisnes online sedikit sebanyak membantu aku memahami pasaran dan pengaruh psikologi manusia dalam konteks perdagangan. Manusia takkan beli kalau dia taknak. Bagaimana hendak pengaruh emosi manusia? Bagaimana emosi ni pula boleh membuatkan kita boleh mark up harga jualan kita lebih tinggi? Sebagai pedagang kita tahu nilai itu ditentukan manusia seterusnya memacu pergerakan harga. Lagi manusia Nampak perkara itu bernilai, lebih tinggi harganya boleh dijual.

Sebenarnya dalam SAHAM ini lah kita belajar kehidupan manusia. Manusia ada keperluan dan kehendak. Ia perlu permintaan dan bekalan. Ia diterjemahkan juga kepada emosi TAMAK, NEUTRAL atau TAKUT untuk jualbeli. Manusia akan meminta sesuatu, mengkehendaki sesuatu, memerlukan bekalan dan akan berjualbeli sejak dahulu hinggalah kiamat.

Sejak tahun 1710 dahulu, aktiviti pedagangan ni telah dikaji oleh seorang pedagang dan juga samurai hebat Honma Munehisa. Beliau digelar bapa kepada candlestick, satu petunjuk analisis perdagangan. Selama 15 tahun mengkaji dengan analisis rekod 1500 tahun sebelumnya, Honma membuat satu persatu plot dagangan. Hasil pemerhatian dan kajian beliau dalam penghantaran beras serta inventori dagangan telah dibuat plot dalam bentuk kertas jerami padi. Hasilnya, dari anggaran 100 perdagangan beras, kesemua perdagangan beliau berjaya hasil dari kajian beliau seterusnya membawa satu era baru analisis dagangan yang digunakan hingga zaman moden ini.

Sebenarnya apa candlestick ni? Perkara asas yang kita kena tahu adalah ia berkait rapat dengan permintaan, bekalan, keperluan, kehendak dan emosi manusia yang saya sebutkan tadi. Emosi manusia walaupun lain-lain tetapi secara kolektifnya seluruh dunia adalah seragam. Hebatnya Allah jadikan manusia pelbagai ragam tetapi ada keseragaman dalam emosi apabila kita plotkan dalam satu tempoh masa.

Contoh mudah, semasa bencana Tsunami berlaku di Acheh tahun 2004 kebanyakan rakyat Malaysia ketika itu sangatlah takut untuk makan ikan. Jika di asrama ada “ikan jaket”, istilah budak-budak asrama untuk ikan goreng (ikan kembong) disebabkan seperti kulit jaket setelah digoreng. Apesal dengan ikan jaket pulak dah? Sebab masa tu ikan jaket sangatlah murah. Murah sebab apa? Sebab rakyat Malaysia masa tu takut makan ikan yang memakan cebisan mayat beribu orang yang lemas akibat bencana Tsunami di Sumatera, Indonesia. Akibat TAKUT dan kurangnya permintaan, lambakan bekalan menyebabkan ikan terpaksa dijual murah. Ia boleh diterjemahkan dan bentuk candlestick. Apabila candlestick ini bergabung, akan jadi satu pattern yang boleh menerangkan situasi yang sedang dan emosi yang akan berlaku. Dan bagaimana bentuk candlestick tersebut membentuk satu pergerakan harga. PERMINTAAN rendah, HARGA jatuh. BEKALAN terlalu banyak, HARGA pun boleh jatuh. Apabila satu tempoh masa, ia tidak jatuh selamanya. Ada paras kita sebut OVERSOLD, terlebih jualan. Selepas situasi reda, dan sekarang ni kenaikan harga ikan temenung pun buat kita termenung kerana KETAKUTAN itu tiada lagi datang dengan KETAMAKAN manusia untuk makan ikan hari-hari. Terdapat banyak lagi bentuk candlestick berkait dengan psikologi manusia yang boleh kita belajar.

JOM JADI JUTAWAN

Waduhhh… Macam bunyi scammer jer subtopik perenggan ni. Jadi jutawan? Boleh ke? Macam caya tak caya saja. Sebenarnya kita boleh jadi jutawan. Jangan salahkan keluarga jika kita dilahirkan miskin, tapi jika anda mati dalam keadaan miskin itu adalah disebabkan salah sendiri. Ini ayat orang terkaya dunia Bill Gates, pengasas Microsoft. Aku pandai-pandai je olah nak bagi faham dalam bahasa Melayu.

“If you born poor it’s not your mistake, but if you die poor it’s your mistake”

Dalam hidup ni rezeki Allah itu luas. Setelah membuat kerja konsultan unit amanah sebagai sampingan, aku membuatnya sepenuh masa hinggalah dapat mengumpulkan jumlah dana AUM (Asset Under Management) dibawah aku lebih setengah juta seterusnya dinaikkan pangkat menjadi pengurus senior Eastspring Investments Berhad. Walaupun kurang dikenali di Malaysia, agensi third party terkenal dunia Lipper Rating dan business info provider The Edge Malaysia mengiktiraf Eastspring Investments Berhad sebagai pengurus asset terbaik 2014, 2015 dan 2016 seterusnya pemenang tertinggi anugerah dana saham 2017 dan 2018 mengatasi Affin, Public Mutual, CWA, RHB, dan sebagainya. Setiap tahun anugerah ni adalah sangat mengagumkan bagi unit trust company yang tiada banking sector. Kerana sememangnya syarikat hanya fokus pada dana saham, tidak terganggu dengan kerja sektor perbankan, pinjaman rumah, kad kredit dan sebagainya. Bagi aku anugerah bukanlah penting, yang penting adalah pengurusan pelaburan itu sendiri.

Alhamdulillah setakat ini aku sedang mengumpulkan asset dalam pelbagai bentuk. Dari pelaburan asas ASB, ada dana unit amanah saham dan seterusnya unit saham dalam serta luar negara. Dari mempunyai sebiji kereta menjadi dua biji kereta dan sebuah motor cabuk untuk urusan harian. Sebiji rumah di Taman Seri Bayan, bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka dan mungkin akan membeli sebiji lagi rumah kecil di kampung. Paling tinggi pelaburan adalah dalam bentuk saham dan dana unit trust. Sebab apa? Kerana kecairan tunai lebih tinggi berbanding pelaburan rumah yang mungkin makan masa untuk ia terjual. InshaAllah asset yang dikumpulkan menjadi titik tolak kearah jutawan. Tapi mak pesan jangan terlalu jadi hamba duit, kufur nikmat dan selalu lah bersedekah kepada yang memerlukan.

**************Artikel ini adalah cetakan komputer dan tidak memerlukan tandatangan*********
HAIRUL AZIZI.
Senior Manager,
Eastspring Investments Berhad.
30/08/2018

Comments

Popular Posts