Betulkan Mindset Melabur Saham
JANGAN
MELABUR SAHAM, MELABUR PADA BISNES
Sebelum kita melabur saham kita
kena fahami saham ni apa sebenarnya? Apa beza saham dan bisnes?
Ya saham itu adalah perniagaan
tetapi apabila kita berdagang saham bukanlah bermaksud kita berdagang
bisnesnya. Jadi apakah saham yang baik? Saham yang baik apabila bisnes nya yang
baik. Nampak sama bukan? Tetapi konsepnya berbeza. Contoh, daripada berkata aku
nak beli saham IJM lah, bagus tak? Adalah lebih baik kita berkata aku nak beli
bisnes IJM lah, bagus tak? Sekaligus membuatkan minda kita terfikir lebih kepada
bisnesnya bukan kerana unit sahamnya semata.
Maksudnya janganlah kita terlalu taksub dengan
saham. Kita kena fikirkan perniagaannya barulah sesuatu pelaburan saham itu
menguntungkan. Manusia takkan beli kalau dia taknak. Kalau taknak beli macam
mana nak untung? Kena pengaruhi emosi supaya ada pembelian barulah untung. Bagaimana
pula hendak pengaruh emosi manusia? Contoh, nasi lemak berkualiti dan rasa enak
yang sama dijual di dua tempat berbeza. Satu dijual di tepi jalan, dan lagi
satu dijual di kafe/restoran. Nasi lemak yang sama, tukang masak yang sama
tetapi mengapa orang sanggup membeli dengan mahal di kafe/restoran? Walaupun
pengeluaran tukang masak yang sama, secara emosi nya manusia berfikir di
kafe/restoran lebih sedap dan lebih berbaloi harga yang dibayar mahal. Perasaan
ini dipengaruhi dengan kedai yang cantik, servis yang baik dan suasana selesa.
Mempengaruhi emosi membuatkan kita boleh mark
up harga jualan kita lebih tinggi hingga dirasakan pelanggan (buyer) sanggup
beli dengan nilainya. Nilai dan harga ditentukan manusia. Sebagai pedagang kita
tahu nilai itu ditentukan manusia seterusnya memacu pergerakan harga. Lagi
manusia nampak perkara itu bernilai, lebih tinggi harganya boleh dijual.
Sebenarnya dalam nilai SAHAM ini lah kita
belajar kehidupan psikologi manusia. Manusia ada keperluan dan kehendak. Ia
perlu permintaan dan bekalan. Ia diterjemahkan juga kepada emosi TAMAK, NEUTRAL
atau TAKUT untuk memiliki keperluan dan kehendak tersebut. Manusia akan meminta
sesuatu, mengkehendaki sesuatu, memerlukan bekalan dan akan berjualbeli sejak
dahulu hinggalah kiamat. Aktiviti perdagangan itu berjalan walaupun bertukar
sistem jualbelinya dari sistem barter, tukaran emas/perak, siput gerus, duit
syiling, matawang kertas, kad kredit hinggalah era moden ini ada sistem
crptocurrency/e-wallet. Duit tak nampak dah pun, tapi aktiviti jualbeli masih
berlaku.
Sejak tahun 1710 dahulu, aktiviti pedagangan ni
telah dikaji oleh seorang pedagang dan juga samurai hebat Honma Munehisa.
Beliau digelar bapa kepada candlestick, satu petunjuk analisis perdagangan.
Selama lebih 10 tahun mengkaji dengan analisis rekod 1500 tahun sebelumnya,
Honma membuat satu persatu plot dagangan. Hasil pemerhatian dan kajian beliau
dalam penghantaran beras serta inventori dagangan telah dibuat pengumpulan data
dalam bentuk penandaan pada kertas jerami padi di ladang sawah keluarga beliau.
Hasilnya, dari anggaran 100 perdagangan beras, kesemua perdagangan beliau
berjaya hasil dari kajian beliau seterusnya membawa satu era baru analisis
dagangan yang digunakan hingga zaman moden ini. Juga dikenali Japanese Candlestick.
Sebenarnya apa candlestick ni? Perkara asas
yang kita kena tahu adalah ia berkait rapat dengan permintaan, bekalan,
keperluan, kehendak dan emosi manusia yang saya sebutkan tadi. Emosi manusia
walaupun lain-lain tetapi secara kolektifnya seluruh dunia adalah seragam.
Hebatnya Allah jadikan manusia pelbagai ragam tetapi ada keseragaman dalam
emosi apabila kita plotkan dalam satu tempoh masa.
Contoh
mudah, semasa bencana Tsunami berlaku di Acheh tahun 2004 kebanyakan rakyat
Malaysia ketika itu sangatlah takut untuk makan ikan. Jika di asrama ada “ikan
jaket”, istilah budak-budak asrama untuk ikan goreng (ikan kembong) disebabkan
seperti kulit jaket setelah digoreng. Apesal dengan ikan jaket pulak dah? Sebab
masa tu ikan jaket sangatlah murah. Murah sebab apa? Sebab rakyat Malaysia masa
tu takut makan ikan yang memakan cebisan mayat beribu orang yang lemas akibat
bencana Tsunami di kepulauan Sumatera, Indonesia. Akibat TAKUT dan kurangnya
permintaan, lambakan bekalan menyebabkan ikan terpaksa dijual murah. Ia boleh
diterjemahkan dan bentuk candlestick sebenarnya. Dalam satu tempoh masa, harga
turun akan jadi candlestick merah. Satu bentuk candlestick merah yang melompat
ke bawah (gap down) akan menunjukkan pasaran yang tidak baik. Jika anda orang Jepun
nak jual ikan di Malaysia, anda kena tahu data candlestick menunjukkan emosi
pembelian yang tidak baik berlaku di Malaysia semasa tempoh bencana tersebut.
Walaupun orang Jepun tak tahu cerita orang Malaysia takut makan ikan khuatir ia
makan cebisan mayat, analisis dari data candlestick tersebut amatlah penting
dalam dagangan. Contoh saja ya, jangan jadi pembaris sangat mengatakan Jepun
tak jual ikan ke Malaysia pula masa tu.
Apabila candlestick ini bergabung, akan jadi
satu pattern yang boleh menerangkan situasi yang sedang dan emosi yang akan
berlaku. Dan bagaimana bentuk candlestick tersebut membentuk satu pergerakan
harga. PERMINTAAN rendah, HARGA jatuh. BEKALAN terlalu banyak, HARGA pun boleh
jatuh. Jika permintaan rendah dan bekalan banyak lagi lah jatuh harga. Tetapi
jika permintaan tinggi dan bekalan banyak, harga itu akan stabil. Yang selalu
dipermainkan ialah permintaan tinggi tapi bekalan kurang, jadi harga akan
tinggi. Sebab apa? Sebab barang sikit
tapi orang berebut-rebut nak beli. Tak ke jadi mahal? Logik tak? Dekat mana
kita nak tahu orang berebut-rebut ni? Disinilah penting untuk kita fahami
OVERBOUGHT, terlebih belian. Permintaan yang terlebih tinggi dibeli dengan
rakus oleh ketamakan manusia.
Anda perlu sedar, sesuatu
kenaikan saham itu mestilah disebabkan bisnesnya. Jika bukan sebab bisnes kadangkala
kenaikan ini akibat jadi rebutan pedagang atau pasaran saham ini sudah disetkan
oleh jerung (Sharks/Big Boys). Pernahkah anda melihat sesuatu saham itu
mencanak naik harganya hingga tidak masuk akal? Jangan pelik kerana ia memang
biasa dalam dunia saham. Ia terbahagi kepada set berita, sentimen, pengumpulan
awal dan pelepasan unit. Jika anda boleh dapat ikuti rentaknya sangatlah
lumayan keuntungannya atau anda sendiri terlingkup rugi dari permainan mereka.
Statistik menunjukkan 8-9 dari 10 newbie traders banyak terlingkup dalam
mengejar harga. Ada saham kita boleh ikut rentak nya atau istilahnya ialah ikut TREND. Trend is your friend. Jika tak
mahu terkena dengan permainan mereka, jadi carilah saham yang betul-betul
bisnesnya yang sukar dimainkan harganya dari nilai yang sebenar (intrinsic
value). Dalam mengikuti TREND, perspektif kita kena lebih besar skop timeframe
nya supaya dalam jangkamasa panjang saham itu bagus. Apa-apa yang berlaku dalam
jangkamasa pendek TREND, tidaklah menyebabkan kita goyang dalam trading plan
kita memegang jangkamasa panjang (HOLDING POWER). TREND ini mestilah disokong dengan paras candlestick sebelumnya
kerana terbukti emosi seller/buyer adalah di paras kesemua candlestick
tersebut.
Walaupun penerangan panjang lebar
diatas, sebenarnya terlalu banyak untuk diceritakan dan diterangkan lagi satu
persatu. Candlestick bukanlah ada satu jenis saja, ia ada merah, hijau atau
langsung tiada warna, ada heikin, pelbagai pattern, kadangkala menjarak jauh
dan penggunaan pada setiap tempoh masa ada tekniknya. Trend juga banyak
jenisnya dan penggunaannya. Ia perlu dilihat juga dengan sentimen terkini
seperti trade war, krisis matawang Lira Turki, kejatuhan dolar, harga minyak dunia
dan sebagainya. Bukan trend satu saham saja, trend untuk sesuatu indeks dan
sektornya juga adalah sangat penting. Perkara yang penting adalah anda dapat
FAHAM apa yang cuba saya sampaikan. Anda dapat info tak semestinya anda tahu
(ilmu)nya. Dapat ilmu tidak semestinya anda faham. Setelah faham tak semestinya
kita dapat amalkan. Wallahualam.
Moga bermanfaat.
Terima kasih.
Hairul Azizi.
Pengasas SAHLUN.
Comments